Saturday, August 29, 2009

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan CINTA?


Cinta adalah pertalian kasih sayang merangkumi aspek spiritual, emosi, fizikal, intelektual, dan sosial antara individu yang terlibat. Mereka saling menghargai nilai-nilai peribadi yang dimiliki dan memuliakan perhubungan yang wujud antara satu sama lain.

Cinta juga bermaksud kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatau.

Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita sebagai orang yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, cinta juga kadangkala boleh merosakkan diri dan menjadikan seeorang sebagai manusia yang sebaliknya.

Menurut Profesor Hamka, " Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji."

TEORI CINTA BARAT
Terdapat beberapa pandangan mengenai cinta oleh sarjana dari barat berdasarkan kajian-kajian yang mereka lakukan.

"Cinta adalah permainan yang mempamerkan perbezaan antara seseorang dan orang lain. >>George Bernard Shaw

"Cinta adalah kemahuan seksual yang terpendam." >>Sigmund Freud
"Cinta adalah perjuangan untuk menyempurnakan diri untuk memenuhi dan mencapai ego-ideal seseorang." >> Theodore Reik

" Kemahuan untuk melepaskan diri daripada rasa bersalah." >>Charles Pierre

" Sekiranya kamu tidak mampu menyembunyikan sesuatu daripada seorang wanita, itu tandanya kamu menyintainya." >>Paul Geraldy

"Cinta adalah kuasa yang aktif yang dapat memecahkan tembok yang memisahkan manusia daripada teman-teman yang dapat menyatukan dengan orang lain." >>Erich Fromm

CINTA MENURUT PANDANGAN ISLAM

Antara definisi cinta yang disebutkan dalam Al Quran ialah kemahuan untuk berpasangan dan menikmati keindahan dan kelazatan hidup. Cinta adalah antara lelaki dan perempuan, nabi dan umat, ibu bapa dan anak, guru dan murid, majikan dan pekerja,. Semuanya adalah cinta berpasangan yang mempunyai pakej khusus dengan bentuk cinta yang berlainan.

Cinta antara lelaki dan perempuan sebagai pasangan kekasih dilihat sebagai cinta romantic atau cinta berahi(syahwat). Manakala cinta antara ibu bapa dan anak adalah cinta yang tidak bersyarat yang seharusnya ada sejak kewujudan anak tersebut dalam kandungan ibunya. Begitu juga halnya dengan antara guru dan murid atau pensyarah dengan pelajarnya yang mana cinta tersebut akan membawa kepada keberkatan ilmu dan kemanfaatan yang berpanjangan> Dalam surah Az Zariyat:49, Allah menyebut: " Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah."

" Cinta adalah sebagai suatu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian, dan kecenderungan kepada sesuatu yang disukai." >> Imam Ghazali

" Cinta adalah sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyikkan. Cinta juga adalah gejolak perasaan yang muncul apabila orang yang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya. Cinta adalah sebagai hawa, iaitu kecenderungan berserta nafsu terhaadap seseorang yang dicintainya.." >> Ibnu Qayyim al Jauziyyah

Secara keseluruhannya, cinta yang unggul didefinisikan sebagai cinta yang tulen kepada PENCIPTA SEGALA CINTA, iaitu ALLAH. Cinta yang tulen ini lahir daripada orang yang beriman yang mencintai ALLAH dengan sepenuh hati dan perasaan, bersikap lemah lembut dan saling mengasihi sesama manusia.

Cinta adalah anugerah Tuhan yang perlu dijaga dan dibajai dengan nilai-nilai kasih saying, penghormatan, kesetiaan, persefahaman, dan pengorbanan. Cinta memotivasikan akal, roh, perasaan, dan nafsu manusia untuk terus berusaha kea rah kesempurnaan hakiki. Cinta adalah pelengkap kehidupan dan melambangkan keindahan Tuhan dan setiap ciptaan-Nya..

Cinta benar-benar indah bagi mereka yang tahu menghargai cinta. Namun, cinta juga boleh menyebabkan kbinasaan sekiranya kita tidak tahu menjaganya. Oleh itu, bagi yang sedang hangat bercinta, cintailah diri anda sepenuhnya dan cintailah pencipta anda yang Maha Kuasa. Semoga dengan rasa cinta yang tulus dan ikhlas akan direstui dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

0 comments: