Sunday, September 6, 2009

~..Cinta Dari Perspektif Syara' ..~


Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.


“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”)

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama.

“Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan,

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”

Jadi di dalam Islam, cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang amat ditegaskan, ia adalah teras ajaran agama, malah menjadi asas ajaran agama.

Kasih sayang kepada Allah, agama, rasul, dan al-Quran membentuk seorang muslim.Tanpa cinta dan kasih sayang, masyarakat manusia tidak akan aman. Ia juga adalah asas kepada ketamadunan dan amat penting kerana mengikat hubungan suami isteri, anak dan ibu, kekeluargaan, masyarakat sebangsa dan sebagainya. Islam mengajar kasih sayang dan cinta yang diluahkan dalam acuan yang diterima oleh syarak. Jika dilimpahkan dalam acuan yang melanggar batas syarak, ia adalah kasih sayang yang tidak sihat dan negatif. Contohnya berahi kepada sesama lelaki atau perempuan.

0 comments: