Sunday, September 6, 2009

~..MARTABAT CINTA..~


Dalam membicarakan cinta, para ulama telah membahagikannya kepada beberapa martabat.
1. Yang tertinggi ialah cinta kepada Allah, rasul, agama dan jihad fisabilillah.Ini disebut al-hub ul a’la; lumrahnya apabila ajaran agama telah meresap ke dalam jiwa mukmin, keimanannya akan menjadi segar dan kental sehingga ia amat sayang kepada Allah S.W.T. Ini kerana dia yakin Allah S.W.T Maha Sempurna, Maha Agung dan tiada yang menyamai-Nya.

Mereka yang menikmati cinta tertinggi ini redha berbuat apa sahaja demi-Nya. Sebab itu, golongan yang mempunyai cinta tertinggi ini tidak akan memilih jalan yang tidak disukai-Nya kerana Allah S.W.T berfirman, “Tidaklah wajar bagi para mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menentukan sesuatu, mereka memilih yang lain….Sekiranya Allah menyatakan hukum-Nya adil maka mereka yang martabat cintanya tinggi kepada Allah akan mematuhinya dengan yakin.

2. Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan.

Jadi cinta di tahap ini amat penting untuk merealisasi keperluan individu, keluarga, bangsa, bahkan warga dunia. Sebab itu juga syariat Islam menegaskan perlunya dicambahkan, dan diperkasa cinta serta kasih sayang kepada isteri, suami, anak kecil, binatang, jiran, bahkah kepada seluruh manusia dan makhluk.,” Dalam hubungan ini terdapat beberapa hadis Nabi saw yang menegaskan perkara ini;

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Sepotong hadis lain juga menyebut,
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.”

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berbuat baik dengan jirannya dan memuliakan mereka …”

Hadis lain juga menyebut,
“Makhluk ini seluruhnya adalah tanggungan Allah, orang yang paling disayangi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada tanggungannya.”


3. Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini.

Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24, “Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

Cinta yang buruk ini juga ialah cinta nafsu, patuh kepada kehendak-kehendak nafsu amarah, dan berakhlak dengan bangga diri, egoistik sehingga Allah berfirman; “Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkannya pada hal dia berilmu….”

Cinta ditahap ketiga ini termasuk cinta kepada syaitan, dengan memuja dan mematuhi perintah serta bisikannya. Sedangkan di dalam surah Yaasin difirman secara jelas bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata, dan telah menyesatkan generasi-generasi terdahulu.

0 comments: