Sunday, September 6, 2009

~..Punca/Sebab/Faktor..~


Kebelakangan ini sering kita direntet oleh isu yang menggigit sukma lakunya.Hal ini adalah demikian kerana pengertian terhadap cinta disalah ertikan. Punca-puncanya adalah seperti berikut:

1. kurangnya penghayatan agama dalam diri.

2. Ibu bapa tidak mengambil berat dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak.

3. kurang pendedahan tentang cinta.

4. salah faham terhadap konsep cinta yang sebenarnya.

5. terpengaruh dengan rakan-rakan.

6. terpengaruh dengan media massa (tayangan filem-filem cinta yang menyalahi syarak, menjadikan artis sebagai contoh teladan)



Antara perilaku sumbang yang semakin sebati di kalangan remaja hari ini:~


1. Memandang kepada bukan mahram

Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: ((Katakanlah pada lelaki yang beriman: "hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… ).

Apabila pandangan melihat benda yang tidak elok, maka manusia akan terdorong untuk melakukan maksiat seperti zina. Oleh sebab itu, Allah telah mengharamkan memandang kepada wanita yang bukan mahram dengan sengaja, maksudnya dengan shahwat dan tanpa sebab syar'ie, seperti kehakiman, muamalat harian tujuan untuk menikahi perempuan yang dilihat dengan syarat-syarat tertentu. (rujuk bab an-nazru tulisan dari. Abdul Karim Zaidan dalam "Al-mufassal fi ahkam almar'ah wa baitul muslim", jilid 3.) Ini kerana pandangan yang tidak bersebab itu boleh membangkitkan syahwat serta menimbulkan fitnah, juga mungkin akan mengikat hati lelaki pada wanita.

Justeru, pandangan mata perlulah dijaga demi keselamatan hati dan rohani, kerana pandangan juga boleh membawa kepada zina, seperti sabda Rasulullah, "dua mata itu boleh berzina melalui pandangannya"-riwayat Bukhari. Rasulullah pernah berpesan pada Saidina Ali bin Abi Talib Karamullahiwajhah: " Wahai Ali,jangan kamu turuti pandangan pertama (yang tidak disengajakan dengan pandangan seterusnya, sesungguhnya pandangan pertama itu tidak mengapa, tapi yang kedua bukan haqmu.."-riwayat Tarmizi.


2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan

Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari. Perempuan juga dilarang berjalan bersama sama lelaki, dalam sunan Abi Daud, diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w memerintahkan para wanita agar berjalan di tepi laluan jalan, tidak di tengah kerana mengelakkan mereka dari bercampur dengan lelaki. Sedangkan percampuran begini dilarang, apatah lagi berjalan berdua - duaan.


3. Berpegangan tangan

Di dalam Islam, mengikut pendapat jamhur dan rojih, seorang muslim diharamkan bersalaman/bersentuhan dengan semua wanita (iaitu dalam hal biasa, dibolehkan dalam hal darurat seperti perubatan), kecuali dengan mahramnya: ibunya, adik beradiknya,anaknya, ibu mertuanya, ibu saudaranya, anak saudaranya, isterinya dan anak tirinya( anak isteri).

Jika dilihat dari sirah Rasulullah, baginda amat tegas menjauhi persentuhan lelaki perempuan, hatta dalam hal penting sekalipun seperti bye'ah. Bahkan rasulullah akan mengambil bye'ah wanita melalui ikrar sahaja. Daripada Aisyah r.a, katanya: Nabi mengambil bye'ah para wanita dengan ikrar, baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita kecuali wanita yang halal baginya.-riwayat Bukhari.

Namun yang demikian, mengapa masih ramai anak anak muda berpasangan berpegangan tangan, sedangkan baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh. Telah menjadi fitrah pada lelaki dan wanita apabila bersentuhan keduanya maka akan timbul rasa seronok di hati. Ini akan menjadi satu permulaan kepada perkara maksiat. Syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan menghiasi perkara yang dimurkai Allah agar kelihatan indah.

Bersentuhan sangat berkaitan dengan hawa nafsu, dan hawa nafsu itu adalah buta dan tuli. Apabila nafsu menjadi raja, maka syaitan pun bertepuklah tangan. Bagi wanita pula,malu itu adalah ibarat mahkota yang tidak perlukan singgahsana. Tetapi sekiranya mahkota ini tercabut dari singgahsananya, maka jadilah wanita itu lebih dahsyat daripada 70 ekor syaitan!


4. Berdua-duaan / dating/ khalwah ajnabiyah

Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-(riwayat imam Ahmad). Tidak syak lagi bahawa berdua-duaan satu perkara yang amat besar bahayanya. Nafsu shahwat akan memungkinkan segalanya, ditambah lagi syaitan yang akan berusaha kuat untuk menjerumuskan manusia ke jalan kemaksiatan. Apabila sudah berada di landasan keseronokan nafsu, seseorang baik lelaki mahupun wanita akan lupa kekuasaan Allah, kemurkaan dan azabNya. Mereka juga akan melupakan nilai kesucian diri dan kemuliaan sifat terpuji. Dalam keadaan berdua-duaan amatlah mudah untuk terjatuh ke dalam jenayah yang besar. Bahkan ianya merupakan satu peringkat yang paling menghampirkan diri kepada zina, dan ianya terbukti dengan kes-kes penangkapan khalwat, dan muqaddimah zina serta zina itu sendiri yang berpunca dari berdua-duaan.

Rasulullah saw bersabda: "Jauhilah daripada berdua-duaan dengan perempuan, Demi diriku yang berada dalam tanganNya, tidaklah berkhalwat dua orang lelaki dan perempuan kecuali ada syaitan diantara mereka.. dan jika sekiranya seorang lelaki berhimpit dengan seekor bab* yang berlumuran lumpur dan kotoran itu lebih baik baginya dari berhimpit bersentuhan bahu dengan perempuan yang tidak halal baginya". Hadis di atas jelas mengharamkan khalwat dan duduk berdua bersama, kalau di zaman kita ini termasuklah duduk berdua-duaan bersebelahan di dalam bas, wayang dan sebagainya. Satu alasan yang popular bagi mereka yang ingin berdua-duaan ialah untuk mengulangkaji pelajaran. Menuntut ilmu itu memanglah satu perkara yang dituntut, tapi apakah sudah tidak ada pelajar lain di atas muka bumi ini untuk belajar bersama sama. atau sudah tiada pelajar yang sama jantina yang boleh membantu dalam pelajaran.

Cuba kita renungi kata-kata Imam Hasan al-Basri : "Jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata. saya mengajarkannya al-Quran". Demikianlah beberapa hujah dari baginda Rasulullah sendiri serta para ulama tentang larangan dan bahaya khalwah atau berdua-duaan dengan orang yang bukan mahram.

0 comments: