Sunday, September 6, 2009

~..TERAPI PENYAKIT CINTA..~


1. Ikhlas kepada Allah. Jika seseorang yang terkena penyakit al-‘isyq benar-benar ikhlas dan menghadapkan wajahnya kepada Allah dengan tulus, niscaya Allah akan menolongnya dengan cara yang tiada pernah terlintas di hatinya. Dia akan menyingkirkan segala penghalang menuju jalan taubat.


2. Berdo’a. Merendahkan diri kepada Allah, secara tulus menyerahkan diri kepada-Nya, ikhlas, dan memohon kepada-Nya dengan segala kerendahan.


3. Banyak berfikir dan berzikir. Setiap orang hendaklah sentiasa ingat bahawa seluruh perbuatannya akan dipersoalkan tangungjawab masing-masing. Seharusnya dia berfikir bahawa perbincangan dengan kekasihnya akan ditanyakan nanti di hari kiamat. Dia juga hendaklah berfikir betapa malu dirinya kelak ketika Allah mencela perbuatannya.


4. Menjauhkan diri dari orang yang dicintai. Menjauhkan diri akan mengusir bayangan orang yang dicintai dalam hatinya. Kita hendaklah bersabar menanggung perpisahan beberapa saat walaupun sulit pada awalnya. Seiring dengan waktu, seluruh masalah akan menjadi mudah.


5. Menyibukkan diri dengan hal-hal yang bermanfaat. Hal ini demikian kerana mabuk cinta adalah kerana kesibukan hati yang kosong. Hatinya akan dipenuhi bayang-bayang kekasihnya. Tetapi ketika ia sibuk dengan hal-hal lain, maka cintanya akan memudar, rindunya akan hilang dan akhirnya ia dapat melupakannya.


6. Berkahwin kerana pernikahan itu mencukupi segalanya, penuh berkah dan menjadi solusi. Jika orang yang dicintainya adalah wanita yang mungkin dinikahinya maka hendaklah ia menikahinya. Jika sulit menikahinya hendaklah memohon kepada Allah untuk memudahkannya. Jika tak boleh menikahinya kerana sebab-sebab tertentu, maka hendaklah ia bersabar dan memohon kepada Allah agar diberi jalan keluar.


7. Pendidikan dan kefahaman di kalangan umat Islam mengenai cinta dan tahap-tahapnya perlu diterapkan. Cinta kepada Allah, nabi, al-Quran dan agama perlu diutamakan agar mereka tidak membesar dengan sifat benci kepada titah perintahNya atau saranan agama.


8. Pendidikan dalam segala peringkat harus diperkukuh. Pendidikan itu bukan hanya di sekolah, tetapi termasuk pendidikan yang tidak formal. Keseluruhan masyarakat harus memainkan peranan dalam mendidik ke arah cinta positif. Janganlah suasana positif hanya diwujudkan di sekolah, tetapi di luar, pelajar dipengaruhi oleh nilai-nilai yang bertentangan dengan pendidikan yang mereka dapati di dalam sekolah.


Demikianlah cara-cara untuk mengatasi penyakit cinta. Sama-sama kita bermohon kepada Allah agar menjauhkan kita dari jalan-jalan kehancuran dan membimbing kita kepada kebaikan dunia dan akhirat. “…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]..Wallahu a’lam

0 comments: