Saturday, August 29, 2009

??bagaimana??


Banyak saranan yang boleh dilakukan untuk mengatasi penyakit cinta. Perkara tersebut amat penting untuk diamalkan dalam usaha menjaga kesucian diri. Antaranya ialah dengan menjaga pandangan mata bagi lelaki dan wanita, menutup aurat, menjauhi perbuatan yang menarik perhatian lawan jantina,
serta amalan berpuasa.

Menjaga Pandangan Mata

Surat an Nur ayat 30: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surat an Nur ayat 31 pula: "Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Ternyata, untuk menjaga kesucian diri, bagi seluruh kaum muslimin dan muslimat, terutama yang belum berkahwin, salah satu sarana yang wajib diamalkan ialah menjaga pandangan mata, jangan sampai bertentang mata antara lain jantina atau memandang lain jantina dengan nafsu al hawa atau juga memandang perilaku maksiat. Mata sesungguhnya sangat besar peranannya dalam menghindar maksiat dan menjaga kesucian diri, kerana mata adalah deria yang menerima input. Sedang input adalah modal yang akan diproses oleh hati dan menghasilkan output ie tindak laku manusia. Inputlah yang menjadi pencadang output. Baik input, maka insyaAllah baiklah output, sedang buruknya input menghasilkan output yang buruk. Maka sebab itulah amat penting untuk menjaga pandangan mata dan mengawalnya agar tidak terterima atau sengaja menerima input yang negatif yang bakal menghasilkan output perilaku yang negatif dan berdosa pula.



Menutup Aurat dan Menyembunyikan Perhiasan Wanita

Ayat 31 surat an Nur juga memberi panduan khususnya untuk wanita, dalam upaya memelihara kesucian diri: "... janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." Perhiasan pada diri wanita itu terbahagi dua; perhiasan internal dan perhiasan eksternal. Badan wanita itu sendiri adalah perhiasan dan merupakan perhiasan internal. Sedang segala perhiasan yang dipakaikan kepada wanita itu dari pakaian, barangan kemas, bau-bauan, warna-warnaan dan lain-lain adalah perhiasan eksternal. Maka, wanita sewajibnya tidak menampakkan perhiasan internal dan eksternal mereka. Aurat wanita adalah sebahagian dari perhiasan internal. Maka aurat hendaklah ditidaknampakkan atau disembunyikan dari pandangan lelaki baik dari segi permukaan aurat itu, warnanya, malah bentuknya ie bentuk anggota badan terutama yang sensitif pada pandangan lelaki. Pernyataan "... kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." dalam ayat 32 surat an Nur itu merujuk perkara yang pada waktu kebiasaannya memang tampak, seperti luaran pakaian, muka dan tangan. Tapi itu tidak bermakna wanita boleh berpakaian, atau menghias muka dan tangan sampai boleh menarik perhatian lelaki seperti memakai pakaian yang ketat atau sendat ke bentuk badan, nipis hingga menampakkan dalaman badan atau berwarna terang ranggi yang menarik perhatian, atau memakai bau-bauan semata menarik perhatian, umpama warna dan bau bunga menarik kumbang. Muka dan tangan pun tidak sepantasnya dihias sehingga menarik perhatian lelaki bukan suami. Sedang larangan inilah yang menjadi budaya wanita moderat hari ini. Inilah cabaran dan ujian buat Muslim agar mereka layak diganjari syurga di mana Muslimat akan menjadi bidadari dan Muslimin akan bercinta dengan mereka
Dengan seindah-indah cinta syurga yang tidak pernah wujud dalam cinta hawa nafsu manusia dunia yang hina.

Diberikan lagi panduan dalam ayat 31 surat an Nur manual bagaimana wanita hendak memelihara kesucian diri "... Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."

Diberikan panduan secara jelas, terang lagi bersuluh agar wanita menutup perhiasannya dengan lebih kemas pada bahagian tertentu dari perhiasan itu. " ... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, …". Memang dapat difahami bahawa ia perlu ditutup dan tidak dibuka, perlu ditidaknampakkan bentuknya, serta penutupan itu bersifat menyeluruh bukannya parsial, iaitu meliputi seluruh anggota dan bukan separuh-separuh saja atau sekadar ambil-ambil nama tutup. Yang ditutup itu adalah perhiasan, maka selayaknya ia ditutup secara total supaya sedikitpun tidak terkena kotor. Ada yang mempersoal, kalau ia √°dalah perhiasan kenapa ia mesti ditutup sedangkan perhiasan adalah untuk ditayang dan diperagakan. Ya, memang ia untuk ditayang dan diperagakan, tapi ia bukan perhiasan sebarangan yang boleh ditayang kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi dia √°dalah perhiasan yang tersangat mahal, mulia dan istimewa dan layak ditayang pada masa-masa tertentu di tempat-tempat tertentu kepada orang yang istimewa dan berhak sahaja ie suami tercinta.

Menjauhi Perbuatan yang Menarik Perhatian Lawan Jantina

"… Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." Satu lagi panduan berguna buat menjaga kesucian diri. Secara fiziknya dapat difahami bahawa perbuatan memukul kaki itu termasuklah menggerakkan, melangkah, menghayun atau menggoyangkan kaki agar mengeluarkan bunyi (sama ada dari hentakan sandal, loceng, gelang kaki atau lain-lain) untuk menarik perhatian lelaki terutama semasa berjalan. Amat ironis perbuatannya, pada masa dia berbuat ketaatan kepada Rabbnya dengan menyembunyikan perhiasannya, pada masa sama juga dia ingin berbuat keingkaran (maksiat) kepada Rabbnya. Dia berbuat begitu semata-mata kerana masih mahu menurut hawa nafsunya, padahal dia pun tahu bahawa kaki yang hendak digunakan untuk maksiat itu pun dari Allah. Tidakkah dia berasa malu menggunakan harta seseorang untuk menentang orang itu sendiri, padahal dia hanyalah peminjam harta itu (ie kaki)?

Berpuasa

Berpuasa adalah saranan yang amat berkuasa dan berkesan dalam menjaga kesucian diri. Rasulullah telah memberitahu dengan jelas: "Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Dan siapa sahaja yang belum mampu menikah, hendaklah ia berpuasa, sebab puasa itu memiliki pembenteng (wija)" (HR. Bukhari Muslim).

Ternyata sekali bahawa puasa itu benteng kukuh untuk para mukminin dan mukminat terutama para remaja Islam yang belum kahwin dalam usaha menjaga kesucian diri dari melakukan fahsyak kerana desakan hawa nafsu dan bujukan syaitan berupa jin dan manusia. Ya, hari ini jin-jin syaitan tidak nampak kerana ghaib tetapi syaitan berupa manusia memang banyak berkeliaran di mana-mana bahkan mereka bergiat mendakyahkan kemaksiatan kepada manusia melalui pelbagai sarana, media dan wacana.

Surat al Baqarah:183 menyatakan kesan puasa: "Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa." Ya, itu kesannya puasa, iaitu dapat menghasilkan muslim yang bertaqwa. Muslim bertaqwa tentu sekali menjaga kesucian dirinya secara awas dan ketat.

"Puasa itu menjadi perisai." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Satu lagi hadis yang menyokong kekuatan puasa sebagai wahana berguna dalam upaya menjaga kesucian diri. Puasa secara saintifiknya mengecilkan pembuluh darah sekaligus menyukarkan syaitan untuk berlari di dalamnya, secara automatis men'de-active'kan mereka.

Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang suci dan menjadi orang yang mensucikan diri. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai kesucian, zahir dan batin.

Sucikanlah dosa kami Ya Rabb yang Maha Suci.
Ameen.

0 comments: